Sunday, 3 May 2009

of courselah!!

Bagaimana pula dengan rakyat Malaysa yang jatuh cinta kepada Turki?? I found this article in Berita Harian (today)

Duta Turki jatuh cinta kepada Malaysia
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my

Barlas Ozener

Barlas Ozener mempunyai darah Greece di sebelah neneknya, manakala datuknya berasal dari Russia dan mahu dirinya dirujuk sebagai orang Asia beragama Islam

UNGKAPAN 'of courselah' yang biasa kedengaran di kalangan sesetengah rakyat negara ini yang bercakap Inggeris, tetapi bernada Malaysia, terpacul dari mulut Duta Turki ke Malaysia, Barlas Ozener.

Maglish atau bahasa Melayu campur bahasa Inggeris tidak ketinggalan melanda Ozener yang berkhidmat di Kuala Lumpur sejak empat tahun enam bulan lalu dan jika diberi pilihan, mahu terus berkhidmat di negara ini.

Ozener, 63, sebenarnya sudah lama jatuh cinta terhadap Malaysia. Ketika bertugas di Beijing pada 1981, beliau berkesempatan ke Club Med di Cherating, Pahang.

“Ketika itu, Malaysia belum begitu maju dan saya belum melihat potensi pelaburan di negara ini. Namun, ketika saya memohon ditugaskan ke Malaysia pada 2004, negara ini sudah mencapai kemajuan mengagumkan.

“Bagaimanapun, saya masih melihat kehijauan di mana-mana,” katanya yang gemar pelbagai jenis makanan tempatan seperti sate, roti canai, rendang dan tom yam.

Anak kelahiran Ankara, Ozener sebenarnya mempunyai darah Greece di sebelah neneknya, manakala datuknya berasal dari Russia. Saya? Ozener lebih suka merujuk dirinya sebagai orang Asia beragama Islam.

Katanya, beliau adalah antara warga Turki yang kebanyakannya lahir daripada campuran pelbagai budaya.

Kedudukan Turki yang terletak di benua Asia dan Eropah serta susur-galur penduduk yang berasal dari pelbagai negara menjadikan kebanyakan warga Turki bersikap lebih terbuka dan bertolak ansur dalam kebanyakan perkara.

Adakah sikap keterbukaan menyebabkan Turki dianggap sebagai negara sekular? Ozener tersenyum apabila dikemukakan soalan itu.

Wajahnya tetap tenang dan memberitahu bahawa sekularisme dalam pentadbiran tidak boleh disamakan dengan pegangan agama penduduknya. Sekularisme adalah pentadbiran Turki, tetapi secara peribadi, beliau percaya politik dan agama tidak boleh digabungkan.

“Biarkan agama berdiri sendiri dan jangan dicampur aduk dengan politik. Kalau bersalah, saya berdosa. Kalau buat baik, saya dapat pahala. Ia adalah antara kita dan Allah serta tidak perlu diperlihatkan kepada orang lain,” katanya.

Katanya, Islam di Turki dan Malaysia adalah sama kerana dibawa oleh ahli sufi yang bersikap lebih terbuka.

“Turki melalui banyak peradaban. Sejarah Turki merekodkan mengenai kegemilangan Empayar Ottoman dan negara ini juga mempunyai sejarah berkaitan Kristian dan Yahudi. Kepelbagaian budaya dan agama menjadikan warga Turki lebih terbuka,” katanya.

Sikap keterbukaan, kepelbagaian budaya serta sejarah panjang Turki, katanya adalah aset yang unik dan baik untuk sektor pelancongan. Lantas, keunikan itu menjadi sebahagian kempen pelancongan Turki di Asia dan Eropah.

Hasil kempen mengenai keunikan Turki, katanya bilangan pelancong asing ke Turki antara Januari hingga Ogos lalu adalah seramai 18.5 juta, meningkat 15 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, pelancong Malaysia juga memberi sumbangan besar kepada industri pelancongan Turki apabila kedatangan mereka meningkat dari hanya 6,000 orang pada 2003 kepada 23,850 orang tahun lalu.

“Orang Melayu di Malaysia dan warga Turki mempunyai banyak persamaan. Oleh itu, tidak susah mempromosi Turki di kalangan orang Melayu. Namun, mempromosi Turki bukan hanya kepada orang Melayu, tetapi kaum lain di negara ini. Kami perlu lebih bijak mencari kecenderungan pasaran,” katanya.

Sebagai duta, Ozener berpendapat beliau bukan hanya membawa Turki ke Malaysia, tetapi membawa Malaysia ke Turki.

Beliau memuji strategi kempen promosi pelancongan Malaysia yang menarik perhatian dan wajar ditiru negaranya.

“Di Turki juga ada perlumbaan Formula One (F1), tetapi hanya berlumba sajalah. Habis lumba, balik. Tetapi di Malaysia, perlumbaan F1 dipakej dengan pelbagai daya tarikan pelancongan lain, ia sungguh menarik,” katanya.

Berkhidmat di negara ini, Ozener juga melalui pengalaman mendapat perhatian masyarakat negara ini dan antarabangsa apabila ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim `mendapat perlindungan’ di Kedutaan Turki.

Walau apa pun tanggapan pihak lain, katanya setiap kejadian yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.

“Apa yang berlaku dulu adalah situasi yang rumit, tetapi perlu ditangani dengan bijak dan lembut,” katanya yang menegaskan beliau dan negaranya tidak mahu campur tangan dalam hal ehwal negara ini.

“Saya tidak ada masalah dengan kerajaan Malaysia dan hingga kini, saya senang berkhidmat di negara ini, malah menunggu peluang jika perkhidmatan saya boleh disambung,” katanya.

Profil Barlas Ozener
Nama: Barlas Ozener
Asal: Ankara, Turki
Status: Berkahwin dan memiliki dua anak
Pendidikan: Graduan Sains Politik, Universiti Ankara, Turki

No comments: